Monday, September 10, 2012

perbezaan Amalan Zahir dan Batin

Lima kali sehari semalam, pada masa yang telah ditentukan, sembahyang diwajibkan kepada sekalian Muslim yang baligh dan berkuasa. Ini diperintahkan oleh Allah:
"Kerjakan sembahyang dengan tetap dan akan sembahyang yang terlebih penting". (Surah al-Baqaraah, ayat 238).
Sembahyang menurut peraturan agama (rukun sembahyang) terdiri daripada berdiri, membaca Quran, rukuk, sujud, duduk, membaca dengan kedengaran beberapa doa. Pergerakan dan perbuatan ini melibatkan bahagian-bahagian tubuh, pembacaan diucap dan didengar melibatkan pancaindera dan deria, adalah sembahyang diri zahir. Kerana tindakan diri zahir ini dilakukan berulang-ulang, acapkali, di dalam setiap lima waktu sehari, bahagian pertama menurut perintah Allah "Dirikan sembahyang", adalah lebih dari satu. Bahagian kedua perintah Allah "terutamanya sembahyang pertengahan" merujuk kepada sembahyang hati, kerana hati berada di tengah-tengah pada kejadian manusia. Tujuan sembahyang ini adalah mendapatkan kesejahteraan pada hati. Hati berada di tengah-tengah, antara kanan dengan kiri, antara hadapan dengan belakang, antara atas dengan bawah, antara kebaikan dnegan keburukan. Hati adalah pusat, titik pengimbang, penengah. Nabi s.a.w bersabda, "Hati anak Adam berada di antara dua jari Yang Maha Penyayang. Dia balikkan ke arah mana yang Dia kehendaki". Dua jari Allah adalah sifat kekerasan-Nya yang berkuasa menghukum dan sifat keindahan-Nya dan pengasih-Nya yang memberi rahmat dan nikmat.
Sembahyang sebenar adalah sembahyang hati. Jika hati lalai daripada sembahyang, sembahyang zahir tidak akan teratur. Bila ini terjadi kesejahteraan dan kedamaian diri zahir yang diharapkan diperolehi daripada sembahyang zahir itu tidak diperolehi. Sebab itu Nabi s.a.w bersabda, "Amalan sembahyang mungkin dengan hati yang diam".
Sembahyang adalah penyerahan yang dicipta kepada Pencipta. Ia adalah pertemuan di antara hamba dengan Tuannya. Tempat pertemuan itu ialah hati. Jika hati tertutup, lalai dan mati, begitu juga maksud sembahyang itu, tidak ada kebaikan yang sampai kepada diri zahir daripada sembahyang yang demikian, kerana hati adalah intipati atau hakikat atau zat bagi jasad, semua yang lain bergantung kepadanya. Nabi s.a.w bersabda, "Ada sekeping daging di dalam tubuh manusia, jika ia baik maka baiklah semua anggota tetapi jika ia jahat maka jahat pula anggota. Ketahuilah, itulah hati".
Sembahyang yang diperintahkan oleh agama (syariat) dilakukan pada waktu tertentu, lima kali sehari semalam. Sebaiknya dilakukan di dalam masjid secara berhemah, menghadap ka'abah, mengikut imam yang tidak munafik dan tidak ria'.
Masa untuk bersembahyang batin tidak mengira masa dan tidak berkesudahan, bagi kehidupan ini dan juga akhirat. Masjid bagi sembahyang ini ialah hati. Jemaahnya ialah bakat-bakat kerohanian, yang mengingat dan mengucapkan nama-nama Allah Yang Esa di dalam bahasa alam batin. Imam sembahyang ini ialah kehendak yang tidak dapat disekat, arah kiblatnya ialah keesaan Allah, yang di mana-mana, dan keabadian-Nya dan keindahan-Nya.
Hati yang sejati adalah yang boleh melakukan sembahyang yang demikian. Hati yang seperti ini tidak tidur dan tidak mati. Hati dan roh yang demikian berada di dalam sembahyang yang berterusan, dan manusia yang memiliki hati yang demikian, samada dia dalam jaga atau tidur, sentiasa berbuat kebaktian. Sembahyang batin yang dilakukan oleh hati adalah keseluruhan kehidupannya. Tiada lagi bunyi bacaan, berdiri, rukuk, sujud atau duduk. Pembimbingnya, imam sembahyang itu adalah Rasulullah s.a.w sendiri. Baginda berkata-kata dengan Allah Yang Maha Tinggi, "Engkau  yang kami sembah dan Engkau jualah yang kami minta pertolongan". (Surah Fatihaah, ayat 4). Ayat suci ini ditafsirkan sebagai tanda manusia sempurna, yang melewati atau melepasi dari menjadi kosong, hilang kepada segala kebendaan, kepada suasana keesaan. Hati yang sempurna demikian menerima rahmat yang besar daripada Ilahi. Satu daripada rahmat itu dinyatakan oleh Nabi s.a.w, "Nabi-nabi dan yang dikasihi Allah meneruskan ibadat mereka di dalam kubur seperti yang mereka lakukan di dalam rumah mereka ketika mereka hidup di dalam dunia". Dalam lain perkataan kehidupan abadi hati meneruskan penyerahan kepada Allah Yang Maha Tinggi.
Bila sembahyang tubuh badan dan sembahyang diri batin berpadu, sembahyang itu lengkap, sempurna. Ganjarannya besar. Ia membawa seseorang secara kerohanian kepada kehampiran dengan Allah, dan secara zahir kepada peringkat yang paling tinggi mampu dicapai. Dalam alam kenyataan mereka menjadi hamba Allah yang taat. Suasana dalaman pula mereka adalah orang arif yang memperolehi makrifat sebenar tentang Allah. Jika sembahyang zahir tidak bersatu dengan sembahyang batin, ia adalah kekurangan. Ganjarannya hanyalah pada pangkat atau kedudukan, tidak membawa seseorang hampir dengan Allah.
 

Cara meMpErtingKatKan aMalan Zahir DaN baTIn (B6D3E1)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Hidup di dunia ini adalah umpama persinggahan tempat rawat dan rehat (R & R). Perhentian sementara untuk membersihkan diri, tidur seketika, solat, qada hajat, makan, minum, isi minyak kenderaan dan memeriksa kenderaan. Distinasi sebenar masih jauh lagi, masih memerlukan komitmen untuk meneruskan perjalanan supaya tidak tergendala di pertengahan jalan. Sekiranya di R & R kita leka dan tidak menggunakan masa yang ada untuk mengemaskan diri dan kenderaan, di khuatiri diperjalanan yang jauh berlaku kemalangan disebabakan mengantuk atau kerosakan dan kehabisan minyak kenderaan.

Oleh itu kalian perlulah sedar bahawa di dunia yang sementara ini, Allah SWT telah memberi masa yang cukup untuk kita persiapkan diri dengan amalan-amalan soleh, amal ibadah, jihad dan pengorbanan, menghiasi diri dengan akhlak yang mulia dan  mengutamakan amalan-amalan kerohanian yang tinggi.


Untuk melengkapkan diri sebagai hamba Allah SWT yang di redai-Nya maka amalan zahir dan batin perlu berjalan serentak tidak boleh di pisahkan, umpama isi dengan kuku atau malam dengan siang . Diantara satu dengan lain saling lengkap melengkapi. Sekiranya salah satu daripadanya cacat atau tidak berfungsi maka akan berlakulah ketempangan dan tidak berlaku keseimbangan.


Sahabat yang dimuliakan,

Amalan zahir yang utama terletak pada Rukun Islam yang lima iaitu mengucap dua kalimah syahadah (Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya), solat fardu lima waktu, puasa di bulan Ramadan, membayar zakat dan mengerjakan fardu haji ke Baitullah (jika ada kemampuan). Amalan zahir yang lain yang dituntut untuk di laksanakan umpama solat sunat, puasa sunat, sedekah, membaca al-Quran, membantu orang Islam lain dari kesusahan , berdakwah dan mengerjakan amar makruf nahi mungkar dan lain-lain lagi.

Amalan batin yang dituntut adalah khusyuk dalam solat, ikhlas, bertakwa, bertawakkal, tawaduk, rasa takut (khauf), rasa mengharap (rojak), baik sangka, syukur, sabar dan membina sifat-sifat mahmudah yang terdapat dalam hati.


Berhati-hatilah kalian di dalam melaksanakan syariat lahir dan batin, janganlah dicampur adukkan di antara kebaikan dan kemungkaran. Satu masa melakukan ketaatan dan pada masa yang lain melakukan kemungkaran, dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Umpamanya melakukan perintah fardu di samping amalan sunat, adakalanya pemurah dan lemah lembut, tetapi dalam masa yang sama kehidupannya masih lagi terlibat dengan riba, mendedahkan  aurat, pergaulan bebas, mengumpat, memfitnah, mencerca, sombong dan cinta dunia.


Imam al-Ghazali ada berkata : "Kalau kamu tidak boleh (belum mampu) bangun untuk solat tahajud malam (amalan sunat), jangan buat dosa (haram) di siang hari. Kerana tidak ada gunanya berbakti kepada Allah di malam hari (tahajud) tetapi derhaka (buat perkara haram) di siang hari."


Sahabat ada menceritakan pada Nabi SAW. peribadi seorang wanita, iaitu pada siang harinya ia berpuasa sunat dan pada malam harinya ia solat tahajud, tetapi ia suka menyakiti hati jirannya, maka Nabi SAW. menyatakan bahawa tempat tinggal wanita itu adalah di neraka! nauzubillah.


Nabi SAW pernah bersabda maksudnya: "Siapa yang beriman kepada Allah SWT. dan hari kemudian maka janganlah mengganggu jirannya dan berpesan-pesan baiklah kamu terhadap jiran" (Hadis Riwayat Bukhari)


Sahabat yang dihormati,

Janganlah kalian menjadi seperti seorang yang banyak mengerjakan amalan-amalan lahir tetapi cuai terhadap amalan-amalan batin. Pada zahirnya nampak sempurna, baik, warak, sopan santun, lemah lembut tetapi hatinya penuh hasat dengki, buruk sangka, sombong, bakhil, riak, ujub, cinta dunia, mementingkan diri dan lain-lain lagi. Selain itu ia juga suka menghina dan memandang rendah kepada orang yang kurang ibadah, kerana menyangka dirinya hebat. Dia rasa tenang dan senang dengan ibadahnya dan rasa yakin akan selamat di hari akhirat. Ia menyangka dengan amalannya pasti Allah SWT akan berinya kedudukan yang mulia di dalam syurga.

Hakikat sebenarnya orang seperti ini di anggap derhaka pada Allah dalam amalan taatnya dan ia sebenarnya jauh dari Allah SWT dan hatinya terputus dengan Allah SWT.


Oleh itu dalam menilai amalan, biarlah amalan kalian sedikit walaupun sekadar buat yang fardu dan sedikit yang sunat sahaja, tetapi di hati tersemat rasa takut pada Allah SWT. dan merasai tawaduk dan ikhlas. Walaupun amalan sunat dan ibadah seseorang nampak hebat, tetapi selagi hatinya tidak zuhud dengan dunia, masih ada riak dan ujub selama itu ibadahnya tidak ada nilai di sisi Allah SWT. dan belum tentu Allah SWT terima amalan tersebut.


Firman Allah SWT yang bermaksud : "Ada pun orang yang enggan dan menyombongkan diri maka Allah akan menyeksa mereka dengan seksaan yang pedih."

(Surah Al-Nisaa ayat 173).

Rasulullah SWT. bersabda yang bermaksud : " Sesungguhnya yang amat aku takuti sekali di antara segala perkara yang terjadi ke atas kamu ialah syirik kecil." Sahabat bertanya : "Apakah syirik kecil itu?" Baginda SAW. menjawab : "Ialah riak (beramal dengan tidak ikhlas) kerana menunjuk-nunjukkan amalan." Kemudian baginda SAW  menyambung : "Di akhirat kelak, iaitu sewaktu setiap manusia melihat amalannya, Allah SWT .berfirman yang bermaksud : "Pergilah kamu semua kepada sesuatu yang kamu niatkan (menunjuk-nunjukkan ) amalan kamu ketika di dunia. Lihatlah apa yang kamu  boleh perolehi balasan dari mereka itu." (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi).


Nabi SAW  pernah bersabda maksudnya: "Tidak akan masuk neraka orang yang didalam hatinya ada seberat biji sawi daripada iman dan tidak akan masuk syurga yang didalam hatinya ada seberat biji sawi dari sombong" (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)


Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Hurairah maksudnya :"Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawasanya manusia yang pertama dipanggil untuk diadili di hari kiamat ialah orang yang mati syahid. Dia datang kepada Allah TuhanNya sambil dia sendiri telah mengetahui nikmat apa yang akan diterimanya. Allah bertanya kepadanya apakah amal kamu? "Jawabnya aku berperang untukmu hingga aku mati syahid". Allah berkata kepadanya "engkau bohong, engkau berperang agar manusia mengatakan engkau seorang gagah, berani dan engkau sudah dikatakan begitu sebagaimana yang engkau kehendaki. Kemudian orang itu dihela masuk ke neraka"


Sahabat yang dikasihi,

Akhirkata, pertingkatkanlah amalan kalian samaada yang zahir dan batin. Laksanakanlah dengan hati yang ikhlas dan tawaduk, tanpa mengharapkan pujian dan sanjungan manusia, nescaya amalan kalian akan diterima dan diredai oleh Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Saturday, September 1, 2012

Tanggungjawab Mukallaf Dalam Melaksanakan Perintah Allah

 







Setiap manusia tidak terlepas daripada menunaikan amanah dan tanggungjawab terhadap Allah SWT. Kehidupan manusia di dunia ini adalah untuk mencari bekalan yang secukupnya sebagai persediaan untuk akhirat. Untuk mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat, syariat Islam perlu ditunaikan oleh setiap individu muslim yang akil baligh. Persoalannya ialah bilakah seseorang itu sudah mencapai tahap akil baligh?
Terdapat segelintir anggota masyarakat yang masih lagi dangkal dengan pengertian akil baligh yang sebenarnya. Apabila ditanya kepada mereka tentang solat, menutup aurat, berpuasa, dan perintah-perintah Allah yang lain, terdapat di antara mereka yang sudah pun akil baligh dengan selambanya menjawab ‘belum sampai seru’, ‘nantilah, bila hati sudah ikhlas, aku akan laksanakan perintah Allah tu!’, ‘aku tak nak jadi orang yang hipokrit membuat sesuatu tanpa ikhlas’, dan pelbagai ungkapan dan alasan lain yang dikemukakan.
Adakah mereka masih lagi belum bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam mentaati perintah Allah SWT?. Adakah mereka beranggapan bahawa masih lagi muda, masih banyak masa untuk bertaubat bila tiba masanya yang difikirkan sesuai? Mungkin ada yang sampai usia 55 tahun pun masih lagi belum baligh, kononnya belum sampai seru!
Maksud baligh ialah apabila seseorang lelaki atau perempuan telah sampai pada tahap umur tertentu, maka dia menjadi seorang yang layak menerima taklif (tanggungjawab) yang ditentukan oleh syarak seperti solat, puasa, haji dan lain-lain. Orang Islam yang akil baligh disebut juga sebagai ‘mukalaf’. Menurut Kamus Dewan edisi ketiga, baligh bermaksud cukup umur atau dewasa (biasanya apabila mencapai umur antara 9-12 tahun bagi perempuan dan 12-15 tahun bagi lelaki). Manakala ‘mukalaf’ bermaksud orang yang telah cukup umur dan diwajibkan mematuhi hukum-hukum Islam.
Menurut Syeikh Dr. Mustafa al-Bugha dan rakan-rakan dalam buku al-Fiqh al-Manhaji, tahap baligh seseorang itu dapat diketahui dengan beberapa perkara:
  1. Mimpi keluarnya mani, sama ada lelaki atau perempuan.
  2. Melihat darah haid. Ini khusus untuk perempuan sahaja. Waktu yang menjadikannya baligh disebabkan mimpi atau keluar haid ialah apabila dia mencapai umur sembilan tahun Qamariah. (menurut bulan Islam). Kelewatan atau tidak daripada umur tersebut adalah bergantung keadaan sesebuah negeri dan suasana kehidupan
  3. Berumur 15 tahun berdasarkan tahun Qamariah (hijrah). Keadaan ini diambil kira apabila tidak berlaku mimpi atau tidak keluar haid.
Sewajarnya setiap individu muslim sudah mengetahui dengan yakin apabila sudah sampai umur baligh, maka sudah sampailah ‘seruan’ kepada mereka untuk melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya. Pada tahap itu mereka sudah mampu dari segi segala aspek fizikal dan mental untuk memikul serta melaksanakan perintah Allah SWT, dan sudah lengkap bersedia dengan ilmu fardu ain dan bukan masanya lagi untuk berlengah dan bertangguh! Ini kerana mereka telah bertanggungjawab atas segala perbuatan sebagai ‘hamba’ Allah SWT. Baik atau buruk akhlak dan prestasi sebagai ‘hamba’ Allah SWT sudah ada ganjaran dan hukumannya.
Akan tetapi, apa yang mendukacitakan dewasa ini ialah persoalan baligh tidak lagi diambil berat malah dipandang remeh pula. Terdapat di antara anggota masyarakat sama ada ibu bapa atau remaja hanya menganggap baligh merupakan perkara biasa yang tidak perlu diberi perhatian serius. Natijahnya, kewajipan dan amanah yang perlu ditunaikan terus diabaikan.
Anak ialah amanah Allah kepada ibu bapa supaya menjaga dan memelihara mereka mengikut landasan Islam. Ibubapa diwajibkan berusaha dengan bersungguh-sungguh melaksanakan didikan agama terhadap anak mereka. Mendidik anak agar memahami tanggungjawab terhadap Islam itu adalah wajib hukumnya.
Ramai ibubapa pada hari yang hanya mementingkan pembelajaran akademik anak mereka semata-mata, akibatnya terdapat anak yang tidak tahu membaca al-Quran, tidak tahu menunaikan solat, dan tidak boleh membaca surah al-Fatihah. Lebih teruk lagi apabila terdapat anak yang tidak tahu apa itu mandi hadas besar, dan masih tidak tahu menyebut kalimah syahadah dengan betul walaupun sudah mencapai usia baligh.
Justeru, ibu bapa memainkan peranan penting untuk mendidik anak agar mereka memahami erti baligh dan dewasa. Apabila seseorang anak sudah mencapai umur baligh, ibu bapa perlu memisahkan anak lelaki dan anak perempuan mereka dari bilik tidur masing-masing untuk menghindarkan berlakunya perkara yang tidak diingini. Langkah ini akan dapat menyedarkan mereka bahawa tidak manis berkongsi bilik apabila telah meningkat akil baligh.
Ibu bapa juga sebenarnya bertanggungjawab untuk melatih anak-anak mereka untuk melaksanakan perintah Allah sejak mereka belum mencapai usia baligh lagi sebagai persediaan ke arah itu. Ini telah ditegaskan oleh hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Abu Daud yang bermaksud:
“Suruhlah anak kamu solat apabila mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka apabila mereka berumur sepuluh tahun (sekiranya enggan menunaikan solat) dan pisahlah mereka di tempat tidur apabila mereka berusia sepuluh tahun.”
Selain itu, ibu bapa juga wajar memberi penerangan kepada anak-anak supaya tidak masuk ke dalam bilik tidur ibu bapa mereka dengan sesuka hati dan tanpa keizinan. Peraturan ini telah ditetapkan oleh Islam agar tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti sumbang mahram dan sebagainya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 58 bermaksud :
“Wahai orang yang beriman, hendaklah budak-budak (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah ‘aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa ; (iaitu) sebelum solat Subuh, dan ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)mu di tengah hari, dan sesudah solat Isyak. (Itulah) tiga aurat bagi kamu. Tidak ada dosa atasmu dan tidak (pula) atas mereka selain dari (tiga waktu) itu. Mereka melayani kamu, sebahagian kamu (ada keperluan) kepada sebahagian (yang lain). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Tambahan daripada itu, anak-anak juga perlu diajar agar bersopan santun menurut kacamata Islam sama ada dari segi berpakaian, pergaulan sehari-hari, akhlak, ketaatan kepada Allah dan seumpamanya. Mereka perlu dididik dan diberi kefahaman yang cukup tentang Islam sejak mereka kecil lagi agar bila mereka mencapai usia baligh, mereka dapat melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya dengan mudah dan selesa.
Di samping tanggungjawab ibubapa terhadap anak, para remaja yang meniti usia baligh juga perlu berperanan untuk memastikan diri mereka berada pada jalan yang lurus dan yang diredhai Allah. Jangan hanya asyik membicarakan tentang perubahan fizikal pada tubuh badan sahaja seperti soal jerawat yang mula tumbuh, suara yang mula garau dan bentuk badan yang sudah berubah. Persoalan iman, ilmu dan akhlak perlu diutamakan!.
Mereka yang sudah akil baligh sepatutnya sudah menjadi matang iaitu mampu berfikir, menilai dan bertindak dengan betul. Sesuatu perkara yang hendak dilakukan, hendaklah didasarkan kepada pemikiran yang sihat berlandaskan syariat Islam. Ingatlah, bahawa setiap perlakuan yang dilakukan di atas dunia ini akan dihitung oleh Allah SWT di akhirat kelak. Firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7-8 bermaksud:
“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya, dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula”.
Ringkasnya, antara tanggungjawab seorang mukallaf yang sudah akil baligh ialah:
  1. Mematuhi dan menunaikan segala perintah Allah seperti menunaikan solat, berpuasa di bulan Ramadhan, menutup aurat, menunaikan amanah, berdisiplin, dan lain-lain.
  2. Meninggalkan segala larangan Allah seperti berzina, minum arak, berjudi, melepak, menagih dadah, menderhaka kepada ibubapa, menipu, khianat dan sebagainya.
  3. Mewujudkan hubungan yang baik sesama manusia seperti berkasih sayang, bermaaf-maafan dan saling bekerjasama.
  4. Melaksanakan konsep amar maaruf dan nahi mungkar iaitu menyeru masyarakat ke arah perkara-perkara kebaikan dan mencegah kemungkaran.
  5. Menjauhi perkara yang boleh menjatuhkan maruah agama, keluarga, bangsa dan negara.